My Anniversary

Daisypath Anniversary tickers

Saturday, December 24, 2011

Kuih Keria


Salam...sekarang ni musim hujan, merata2 tempat ada jual ubi...pelbagai jenis ubi ada..ubi kayu, keledek, ubi badak, ubi itik dan macam-macam jenis ubi.

Memandangkan keledek banyak kat rumah..rebus sudah, che mek molek sudah, goreng pun sudah..nak buat apa lagi ya...hmm,kuih keria lah...walaupun takut jugak nak buat kuih ni..bimbang time nak salut gula tu...tapi alhamdulillah...dah 2-3 kali buat takde masalah so ni baru nak tayang hasilnya.

Resipi ni ambik kat myresipi sumbangan syahmi..tq buat tuan punya resipi,minta izin untuk saya copy untuk rujukan teman-teman

KUIH KERIA (Anggaran 20biji saiz  comel2)
500gm ubi keledek
1 cawan tepung gandum
sedikit garam
1sudu besar majerin
3 sudu besar gula dan sedikit  air
minyak untuk menggoreng

Caranya:
Rebus keledek dengan sedikit garam sehingga empuk dan toskan airnya. Lenyek sehingga hancur dan sejukkan. Setelah ubi tadi sejuk, masukkan tepung gandum dan majerin, uli sebati..buatkan bentuk gelang dan goreng.

Dalam kuali lain, masakkan gula dan sedikit air..didihkan gula hingga pekat. Masukkan kuih tadi dan kacau hingga rata. Pastikan semua kuih terkena gula  tadi. Kacau seketika sehingga nampak gula bertali dan tutup api. Teruskan mengacau sehingga gula kering dan kuih tidak melekat. Siap.


Thursday, November 24, 2011

Sago Bersantan..lemak2 manis


Sagoo..memang kegemaran aku..entah apa berhantunya sagu ni. Letak dalam peti ais dan makan sejuk-sejuk...aduhhh, sedapnya!!!

Jomlah kita layan resipi mudah ni...

Sago Bersantan
1 cawan sago
3 cawan air
pewarna

- sago dibasuh dan rendam sekejap,didihkan air dan masukkan sago dan pewarna, kacau sehingga sago masak dan pekat. sejukkan.

Kuah Santan
2 cawan santan
6 sudu makan gula
1 sudu teh halba
sedikit garam
daun pandan
sedikit tepung beras( untuk pekatkan  kuah)

- semua bahan dicampur, gaul sebati. masakkan atas api  sederhana..sentiasa kacaukan untuk elakkan dari berketul sehingga kuah mendidih. sendukkan sago yang dimasak tadi menggunakan sudu ke dalam kuah..sedia untuk dimakan

Wednesday, November 23, 2011

Tofu Telur Goreng

Salam Khamis...
Alkisah..dulu-dulu aku teramat jakun dengan mende alah ni..tiap kali bila berkursus di hotel2, pasti ada hidangan menggunakan tofu telur. Sedapnya... tapi tak pernah pulak aku jumpa mende ni dijual kat pasar-pasar. Hihihi...teruk betul mengenangkan masa lalu

Sekarang ni, kalau singgah di pasaraya..pasti mende ni jadi pilihan..digoreng makan begitu saja pun sedap  juga.Kali ni aku goreng bersama  dengan broccoli dan cendawan(ntah apa namanya - lupa plak!)

TOFU TELUR GORENG
1pkt tofu telur - potong 1inci dan digoreng
2 ulas bawang putih - diketuk
sayur broccoli
cendawan
karot
cili besar(nak pedas boleh letak cili api)
2 sudu makan sos tiram
garam, gula
sedikit air

caranya:
tumiskan bawang putih sehingga naik bau, masukkan sayur-sayuran yang telah dipotong..kacau seketika. masukkan sos tiram, sedikit air dan perasakan dengan garam dan gula..masukkan tofu yang telah digoreng  tadi, gaul rata dan hidangkan bersama nasi.

Tuesday, November 22, 2011

Ketayap Serunding

Salam...
Malam tadi menonton rancangan MasterChef kat saluran astro...antara cabaran dorang adalah membuat kuih ketayap...hmm, lama dah tak makan kuih ni..tapi kelapa takde nak buat inti..camne ya???
Takpe...kali ni kita buat kelainan..ketayap serunding..(petang semalam dok godek serunding ikan seharian)

Resipi ni senang je...ala2 lempeng je, makan time hujan-hujan gini best gak..

KUIH KETAYAP
1 cawan tepung gandum
1 1/2 cawan santan
1 biji telur
secubit garam
pewarna

caranya:
tepung, santan, telur dan garam diadun sebati - guna whisk je, tapiskan dan letakkan pewarna...sendukkan ke atas kuali yang telah dilengserkan minyak dan ratakan sehingga membentuk kepingan yang nipis. Biarkan seketika sehingga bahagian atasnya nampak licin dan tepinya dah tak melekat boleh diangkat. Ulangkan langkah ini sehingga habis adunan. Letakkan inti dan gulungkan.

Asam Pedas Ikan Kembung



 Assalamualaikum...setelah sekian lama bercuti, hari ni pertama kalinya nak tayang resipi...takpe lah ya, ni resipi menu pondok-pondok je...taklah seglamer asam pedas CMG tu...lagipun aku ni bukannya terror sangat masak asam pedas, sekali sebulan pun payah nak jumpa..sekadar kebetulan je ni.. Resipi ni pun bukannya aku belajar khusus..cuma tanya-tanya mulut je tapi as long ianya ada rasa macam asam pedas kira bolehlah masuk list pondok-pondok :)

 ASAM PEDAS IKAN KEMBUNG
 4 ekor ikan kembung - size sederhana
2 ulas bawang putih (kisar) 5 ulas bawang merah (kisar)
7 sudu makan cili kering yg dikisar
2cm halia (kisar) seikat daun kesum bunga kantan (tak letak - stok abis)
 1 biji buah tomato, lebih pun takpe
1 mangkuk air asam jawa air secukupnya minyak untuk menumis
garam, gula secukup rasa belacan(kalau suka)

 Caranya: Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga naik bau, letakkan cili kisar dan kacau sehingga naik minyak, masukkan pula air asam jawa dan air. Biarkan seketika dan masukkan ikan, daun kesum, bunga kantan dan buah tomato...tunggu hingga mendidih, letakkan perasa dan renihkan hingga naik minyak dan pekat sedikit..boleh tutup api dan hidangkan. Selamat mencuba..

Monday, October 3, 2011

ku ingin kembali....

assalamualaikum... lamanya blog ini bercuti, entah apa ler yang aku buat sampai tak terupdate dunia pondok-pondok ku ni..sejak seminggu sebelum raya sibuk memanjang...time tu konon-kononnya nak update pasal biskut-biskut raya yang aku aplikasikan dari blog rakan-rakan tapi tak tercapai...beberapa idea terkubur je dek kesibukkan persiapan raya..minggu raya pulak balik beraya ke pahang...sibuk lagi menguruskan rumah yang dah lama ditinggalkan, semak samun yang tebal di sekeliling rumah...masa seminggu berlalu macam tu je...orang lain sibuk beraya aku cuma bertandang ke beberapa rumah je..yang lain ku peruntukkan untuk urusan di rumah.. bila balik ke rumah sewa ni pulak...aduhhh..rumah kat sini pun dah tebal rumput-rumputnya.. ngapelah pokok-pokok yang ditanam tak sesubur itu tetapi sebaliknya...hmmm...kehulu kehilir...alih-alih dah masuk bulan oktober...bermakna dah sebulan lebih tak ku jenguk pondok ku ini... insyaAllah...bermula hari ini...akan ku cuba mengupdatenya...sekurang-kurangnya sekali sehari, takpun sekali seminggu, tak pun sekali sebulan....setahun...ohhhh tidak!!!!!

Sunday, August 21, 2011

Lemak Kuning Labu




setelah jenuh memikirkan juadah untuk berbuka kali ni, aku terpandang labu...hmm, dah lama tak masak sayur lemak..boleh ler...sedap juga sesekali makan bersama dengan sambal tumis. cara penyediaannya pun simple je..sekejap je blh siap ni..layan


LEMAK KUNING LABU
1 biji labu
2 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
1 labu bawang besar
2 batang serai
6 biji cili api - kalau nak pedas boleh tambah
2 inci kunyit
500 ml santan
garam, gula


cara2nya;
labu dikupas kulitnya dan dipotong kecil, ketepikan. bawang merah, bawang putih, bawang besar, serai, cili api dan kunyit dikisar sehingga lumat. letakkan labu tadi kedalam periuk dan gaulkan bersama dengan bahan kisar tadi..masukkan santan dan masak sehingga labu masak. letakkan garam dan gula sebagai perasa. sentiasa kacau di atas api perlahan untuk mengelakkan 'pecah minyak'. biarkan seketika dan padamkan api setelah labu empuk. sedap dimakan dengan sambal tumis...dan nasi panas.

Puding Roti



hari ni kita dah berada pada tanggal 22 ramadhan...tak lama lagi bulan yang mulia ni akan meninggalkan kita..entah berkesempatan atau tidak untuk kita bertemu ramadhan kembali di tahun hadapan.

entri kali ni aku nak tayang mengenai puding roti..sejenis puding yang senang dan sedap. kalau ada roti2 yang bakal expired tu..boleh ler buat puding ni... dapat mengelakkan pembaziran.




PUDING ROTI
8 - 10 keping roti
1000 ml susu segar / santan
2 biji telur
1/2 cawan gula
2 sudu kecil esen vanila / esen pandan
pewarna hijau
kismis untuk hiasan (boleh juga digunakan hirisan kurma)

caranya:
Roti di siat-siat dan diletakkan dalam loyang, semua bahan lain di blend sehingga sebati..tuangkan kedalam loyang berisi roti tadi..taburkan kismis dan kukus 40 minit atau sehingga masak. sejukkan sebelum dipotong...

Wednesday, August 17, 2011

Barli Ais



cuaca sekarang ni teramat ler panas...minum air barli ais best ni!!! boleh menyejukkan badan... oppss, sabar..belum masuk waktu maghrib lagi..tunggu waktu berbuka tau!!

aahhh...sedapnya

AIR BARLI
100gm barli
air secukupnya
daun pandan
150gm halwa kundur



rebus barli bersama dengan daun pandan sehingga kembang dan lembut...tambah air sekiranya nampak air berkurangan. setelah itu masukkan halwa kundur dan biarkan seketika. boleh dinikmati suam ataupun sejuk...

Muffin Chocolate...i like...




ni ler kegemaran anak-anak dan juga kegemaran aku...sepanjang bulan puasa ni dah dua kali aku membaking muffin ni..senang dan juga sedap, terasa nikmat coklatnya..lembut dan moist..

terpikat ngan muffin ni yang ditayangkan kat dapur Masam Manis..mengajak aku untuk mencuba..dan hasilnya amat memuaskan. betul ler kata kak ita, nak makan muffin yang sedap jenguk ler dapur Izzah, sure puashati..



penghargaan buat Izzah dan kak Azlita...tak lupa juga buat Mak Lang..terima kasih bebanyak dengan resipi ni..minta izin untuk tayang kat sini pulak ya..



MUFFIN COKLAT
by: Mak Lang Azie

Bahan A
2 cawan tepung gandum
1 1/4 cawan serbuk koko
2 sudu kecil baking powder
2 sudu kecil soda bikarbonate
3 sudu teh nescafe
sedikit garam

Bahan B
2 cawan gula kastor
1 cawan minyak masak
1 cawan susu cair atau susu segar
3 biji telur
1-2 sb oren sunquick

Bahan C
3/4 cawan air panas

Campurkan semua bahan-bahan B dan letak ketepi. Ayakkan tepung bersama serbuk koko, baking powder dan soda dan campurkan semua bahan A di dalam mangkuk besar. Masukkan bahan B ke dalam A dan kacau rata. Kemudian akhir sekali masukkan air panas ke dalam adunan tadi dan gaul rata. Ceduk ke dalam muffin cup dan bakar pada suhu 175 C selama 20 minit.

Tuesday, August 16, 2011

Dragon Smoothies



sapa tak kenal buah dragon..sejenis buah yang unik..isinya ada yang berwarna ungu dan ada juga yang warna putih. tapi kebiasaannya yang warna ungu ni lebih manis berbanding yang putih. enak dimakan begitu saja ataupun di blend menjadi jus..seperti yang aku tayang kat sini. oklah...tak moo cakap banyak...idea tarak mari ler petang-petang ni...hehehe

DRAGON SMOOTHIES
1 biji buah dragon
1/2 cawan susu cair
1/2 cawan susu pekat
ais kiub secukupnya

- blend semua bahan di atas dan sedia untuk dihidangkan...

Monday, August 15, 2011

Bawal 3 Rasa




sepanjang bulan puasa ni..lauk ala-ala camni je yang menjadi pembuka selera..dengan aroma daun limau purut, rasa masam manis dan sedikit pedas.

ikan bawal ni beli kat LKIM, RM16 sekilo...besar gak, so aku masak separuh sahaja memandangkan size hidangan aku adalah untuk 2 orang sahaja. jom kita layan resipi..

BAWAL 3 RASA
bahan2
300gm ikan bawal hitam
2 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 labu bawang besar
2 sudu besar cili kisar
2 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos tomato
1 sudu besar sos tiram
sayur campur untuk hiasan
gula
garam
kunyit
sedikit air
daun limau purut
minyak untuk menggoreng

cara2:
ikan dibersihkan dan dilumurkan garam kunyit. panaskan minyak,goreng sehingga garing. bawang putih, bawang merah ditumbuk halus. tumis bahan yang ditumbuk sehingga naik bau dan masukkan cili kisar. kacau sehingga cili masak ataupun pecah minyak. masukkan sos cili, tomato dan sos tiram bersama sedikit air. letakkan sedikit garam dan gula.kacau seketika dan masukkan sayur campur dan daun limau purut. masukkan bawang besar yang telah dipotong bulat.kacau lagi, tuangkan atas ikan dan sedia untuk dihidangkan

Serawa Pulut Durian




ni nama glamer..nama lain pengat durian ler. sekarang ni bulan puasa..durian pula melambak..nak makan begitu saja hmmm..tak de masa, malam2 lepas berbuka dah kenyang..alternatif lain, buat pengat..sesuai dimakan waktu berbuka..

sumber resipi ni aku amik dari blog DTS sebab dulu2 aku masak main campak-campak dan agak-agak aje...bila nak tayang sini terpaksalah aku ikut sukatan yang CMG buat tu..terima kasih che mat tapi maaf ya, ada sedikit pengubahsuaian...

BAHAN KUAH SERAWA :
1 biji durian, keluarkan isinya
700 ml santan
500 ml air
1 ketul gula melaka, hiris halus*
1/2 cawan gula pasir*
1 helai daun pandan, disimpul*
2 cawan air*(*disatukan, masak dengan api kecil hingga gula larut, tapis dan ketepikan)
1 helai daun pandan, disimpul
Secubit garam
Gula, jika perlu

BAHAN PULUT :-)
500 g pulut, cuci dan rendam 30 minit, toskan
350 ml santan cair
1/2 camca teh garam
1/2 camca teh minyak masak
1 helai daun pandan, disimpul

CARA MEMBUATNYA :-)
UNTUK PULUT :- Panaskan kukusan. Pulut tadi diletak dalam loyang, masukkan daun pandan, santan, garam dan minyak masak. Gaul rata dan kukus dengan api besar selama 20 minit. Kareh pulut tadi dan sambung kukus 10 minit lagi hingga betul2 tanak.

UNTUK KUAH SERAWA :- Dalam periuk, satukan santan, gula merah, durian dan jerang atas api hingga mendidih, guna api perlahan. Masukkan secubit garam untuk bagi rasa lemak. Biar mendidih perlahan, rasa dan jika kurang manis tambah sedikit lagi gula. Matikan api.

UNTUK PULUT SERAWA :- Senduk pulut secukupnya ke dalam bekas sesuai, tuang kuah ikut banyak mana yang anda inginkan, boleh dimakan. Kuah ini juga sesuai dimakan bersama roti, lempeng dan juga serabai...

Wednesday, August 10, 2011

Karot Susu




dah lama tak minum jus karot ni...dulu2 tiap kali ke kedai makan nilah salah satu minuman kegemaran aku. cuaca yang panas terik di siang hari sepanjang menjalani ibadat puasa ni, enak juga berbuka dengan jus karot.

jom layan...aku kehabisan idealah nak menulis sebagaimana buntunya otak aku memikirkan menu juadah setiap hari.

KAROT SUSU

2 batang karot sederhana besar
1/2 cawan susu cair
1/2 cawan susu pekat
1 cawan air
ketulan ais

caranya:
semua bahan diatas dimasukkan dalam pengisar dan kisar sehingga halus..tuangkan dalam gelas, tambahkan ketulan ais dan sedia untuk dinikmati

Rendang Kerang





Assalamualaikum...

tup tap tup tap...kita dah menjengah ke minggu ke 2 berada di bulan mulia Ramadhan..sekejap je masa berlalu. sebagai insan dapur..hari2 dok memikir, menu apa nak dihidangkan untuk berbuka dan bersahur..

plan ke pasar semalam nak beli ayam, kebetulan pula terpandang kerang..teringat tentang posting kat dapur kawan2 blogger tentang rendang kerang..ada idea!!! 2 kilo kerang setelah dikopek..alahai dapat ler sebanyak ni...



resipi ni aku skodeng kat dapur CMG dan juga kat Resipi.net..namun, perjalanan memasak rendang ni tak mengikut sebagaimana resipi asal..ada ubahsuai sana sini..tak pelah, hampir2 sama macam masak rendang biasa, mencari kesesuaian sendiri..



jom..kita jengah dapur kecik aku...

RENDANG KERANG

300gm isi kerang
4 ulas bawang putih
4 ulas bawang merah
1/2 inci halia
1/2 inci lengkuas
1/2 inci kunyit
2 batang serai
5-10 biji cili api
3-4 sudu besar cili kisar
200 ml santan pekat
1 sudu besar kerisik
2-3 helai daun limau purut
1 helai daun kunyit
garam
gula
sedikit minyak untuk menumis


Cara2nya
kisar bawang merah, bawang putih, halia, lengkuas, kunyit, serai dan cili api sehingga lumat. panaskan minyak dan tumis bahan kisar tadi sehingga naik bau, masukkan cili kisar dan kacaukan sehingga pecah minyak. masukkan santan..kacaukan seketika. masukkan kerang, garam, gula dan daun limau purut. biarkan sehingga kering sambil dikacau sekejap2. sedia untuk dihidangkan bersama nasi ataupun ketupat.

Sunday, July 31, 2011

Puyuh Goreng Serai Berlada



Salam..Alhamdulillah, masih lagi diberi kesempatan untuk menjejakkan kaki di bulan Ramadhan tahun ni..semoga kehadiran ramadhan kali ni lebih mendatangkan keberkatan dan kerahmatan dari Ilahi.

Puyuh??? Apa istimewanya puyuh ni...harga mahal tapi dagingnya bukannya banyak pun...nak kata sedap pun lebih kurang je ngan daging ayam tu..tapi aku suka sebab banyak tulang dari daging..hihi, sedap diratah begitu sahaja bila digoreng garing-garing. tapi kalau makan ngan nasi..leceh sket..tapi, boleh lah..

menu ni diadaptasi dari resipi mak mertuaku..kiranya resipi orang dulu-dulu lah ni. cuma kebiasaannya dia menggunakan ayam tapi aku tukarkan kepada puyuh.
jomlah..kita layan menu, penat wehh naip ari ni..



PUYUH GORENG SERAI BERLADA

4 ekor puyuh - dibelah 2 dan dilumurkan garam kunyit
2-3 ulas bawang putih
2 ulas bawang merah
1 labu bawang besar
5-6 biji cili api (nak pedas lagi tambahkan cili)
2 batang serai
sedikit air
garam gula secukup rasa
minyak secukupnya

cara2nya
panaskan minyak, goreng puyuh tadi sehingga garing, ketepikan.
bawang putih, bwg merah dan cili api di kisar kasar...serai dititik
tumiskan bahan kisar tadi bersama2 serai sehingga naik bau, masukkan sedikit air. biarkan seketika dan masukkan puyuh yang digoreng tadi, bawang besar, garam dan gula. kacau balikkan sehingga sekata..hidangkan panas-panas

Thursday, July 28, 2011

Terung Goreng



buntu memikir nak masak hari-hari ni, tak tau dah menu nak di buat..tambah2 plak tak memandai sangat..balik2 menu sama je..

terung ada 3 biji dalam esbok..masak apa ee..terpandang satu rancangan kat tv, cakap bahasa cina, sepatah haram aku tak faham..tengok gambar je lah. terung yang dimasaknya tu cantik..kalernya masih lagi warna keunguan. so aku pun main agak2 je masak ni..janji sedap..



TERUNG GORENG

bahan:
3 biji terung
1 labu bawang besar
2 ulas bawang putih
4-5 biji cili padi
1 biji cili merah/hijau - hiasan
1 sudu sos tiram
sedikit air
secubit garam, gula
minyak secukupnya

cara2nya:
terung dibelah 2 atau pun 4 kalau terung tu besar. rendam dalam air garam sekejap dan toskan. lap dengan menggunakan tuala/tisu. goreng terung sambil dibalik2kan sehingga agak layu sedikit. ketepikan.
bawang putih diketuk pecah2 bersama cili padi ditumis sehingga naik bau, masukkan bawang besar dan goreng sehingga layu..masukkan sos tiram,sedikit air dan letakkan garam gula..dan masukkan terung yang digoreng tadi. kacau seketika dan sedia untuk dihidangkan.

Wednesday, July 27, 2011

Garlic Bread



menu sihat untuk bekfes ni...aroma butter dengan bawang putih...hmmm, menambat kalbu. tak perlu dah susah2 nak gi pizza hut untuk dapatkan garlic bread..dah boleh buat sendiri, rasa pun not bad.



jom kita intai bahan2 yang di perlukan..

roti french - kalau tak de guna roti biasa pun boleh
butter

bawang putih - nak guna yg serbuk pun ok jugak, lagi senang
thyme untuk hiasan

simple je kan bahan-bahannya. nak buatnya pun senang gak...

kalau guna bawang putih yang ori, masukkan 4-5 ulas bawang yang telah dibasuh ke dalam microvave..panggang untuk 2 minit, semerbak baunya. tumbuk hancur dan buang kulitnya..cairkan butter dan gaulkan dengan bawang putih tadi (kalau buat banyak boleh simpan dalam peti ais, tahan untuk lbh kurang 2 minggu)...

sapukan garlic butter ni pada roti, taburkan thyme dan masukkan dalam microvave/oven..bakar sekejap, tada...dah siap garlic bread.



alternatif lain, kalau takde microvave/oven..leh juga guna toaster tu..tp jangan sapu butter banyak sangat..sapu nipis je, then toast roti tu..time dia panas2 tu sapu sekali lagi garlic butter..tabur thyme, leh makan dah..

cubalah...

Tuesday, July 26, 2011

Wajah - wajah Solehah








Laici Smoothie



terpikat dengan smoothie durian milik Noorsha, buih2nya yang memenuhi permukaan gelas...nampak mewah gitu. namun..rasanya tak sanggup untuk ku nikmati durian dalam bentuk air...huhu, tak minat. so..untuk menggantikannya ku olah dengan menggunakan laici...ok lah tu!!! menikmatinya di waktu cuaca panas ni..teramat ler menyamankan anak tekak..

moh ler kita minum...



LAICI SMOOTHIE

1 tin laici
1 cawan susu cair
4 sudu besar gula (terpulang ikut selera manis masing-masing)
1 mangkuk ais kiub
jelly

semua bahan di atas dicampurkan, blend semua sekali menggunakan air laici..tuangkan kedalam gelas, letakkan jelly yang dipotong kiub. sedia untuk dinikmati...yummy..


Sunday, July 17, 2011

Sup Ikan Merah


Berada di pantai timur ni..memang kaya dengan spesis ikan segar. sekali sekala dapat ikan merah, fuhh...sedapnya dibuat sup dan hirup panas-panas. daging ikan yang lemak-lemak lembut tu...amat menepati selera. tapi nak makan selalu...memang tak dapat ler, ikan ni punya ler mahal...

berkunjung ke LKIM tempohari..tertarik dengan ikan merah yang pelbagai saiz, pilih-pilih akhirnya sangkut ler dengan ikan merah yang seberat 600g, dan percaya tak..harganya cuma RM10 sahaja, ikan segar yang baru naik dari bot...jom la kita tengok resipi kali ni..

SUP IKAN MERAH
300 gm ikan merah
3 - 4 biji bawang merah - kisar
2 ulas bawang putih - kisar
1 inci halia - titikkan
1 biji tomato - belah 4
2 batang kulit kayu manis
1 biji buah keras
1 sudu besar jintan manis
1 sudu besar lada hitam
2-3 kuntum bunga cengkih
2 biji buah pelaga
1-2 helai daun bay
1-2 sudu besar minyak masak
garam
daun sup dan bawang goreng untuk hiasan

cara2:
tumis bahan kisar bersama kulit kayu manis, buah keras, buah pelaga, jintan manis, bunga cencgkih dan daun bay. masukkan air dan tunggu sampai mendidih. masukkan ikan dan tomato..biarkan 10 minit. letakkan garam secukup rasa. sedia untuk dihidang bersama-sama dengan hirisan daun sup dan bawang goreng

Asam Laksa



semalam laksam, hari ni laksa pulak..ni kes nak ngabis ikan rebus, esok nak cuti-cuti malaysia..



berkisah pada asam laksa ni, aku mula kenal makannya pada tahun 1996, time tu aku belajar kat Sungai Petani, Kedah...utagha semenanjung nun..sejak dari tu aku ni gemar sangat ngan asam laksa ni. bila dah kawin, dapat pulak MIL asal Penang...fuhh, tiap kali ada makan-makan kat umah, mesti ada asam laksa. tapi aku punya asam laksa tak ler seperti yang MIL buat, ntah ngape tak tau..rasanya apa yang dia buat dah aku ikut tapi tak sama jugak. ni kot yang dikatakan air tangan...

oklah..kita layan dulu...


ASAM LAKSA

1 bungkus laksa - direbus - aku guna laksa beras (kat pantai timur ni femes n ada di jual kat pasar)
1 kg ikan kembung atau ikan selayang - direbus bersama garam n asam keping
1 liter air
5 biji cili merah - dibuang biji dan dikisar - nak letak lebih pun tak pe
5 biji cili padi - dikisar - kalau suka pedas leh tambah
2 cm belacan - dikisar
5 ulas bawang merah - dikisar
3 ulas bawang putih - dikisar
5 keping asam gelugur - lebihkan jika suka masam2
1 tangkai daun kesum - aku suka letak banyak2
garam secukup rasa


Rebus ikan dan ambil isinyer sahaja. Isi ikan tadi dihancurkan kasar2 sahaja. (ita ambil tulang ikan tu bersama air rebusan ikan tadi dan kisar halus kemudian tapis ambil airnyer sahaja. Air tu gunakan untuk dikisar bersama dgn bahan2 kisar....)

Masukkan air rebusa ikan dan isi ikan kedalam periuk. Kemudian masukkan bahan2 yg dikisar, asam gelugur dan daun kesum. Masak atau rebus bahan ini hingga kuah mendidih. Masukkan garam secukup rasa. Biar sehingga kuah merenih dan boleh lah dihidangkan bersama bahan2 ulam- ulaman.

Saturday, July 16, 2011

LAKSAM...



semalam buat laksam..walaupun berlambak ada jual kat pasar tapi aku tekad juga nak membuatnya..bukan apa, sekadar mengimbau zaman aku kanak2 dulu..membantu mak menyiapkan laksam untuk jualan. time tu rasanya usia aku dalam 10 - 12 thn kot..dapur kat rumah mak masa tu dapur kayu..pedih berair2 mataku tatkala meniup api dapur terkena asap..tapi bab yang aku paling suka ialah menggulung laksam..hihi, suka sangat.mak kata kena tunggu dia sejuk sket baru gulung..nanti dia patah...

setelah sekian lama..ni ler aku akhirnya berazam untuk mengasah bakat yang dah berkarat tu semula..azam ni muncul setelah terdengar panggilan kak ita masam manis..terngiang2 kat telinga ni.. weei kelik weei...make laksam



pagi2 jumaat tu aku ke LKIM, dasat ni..mcm ler nak buat laksam utk kenduri..tup-tup beli ikan selayang 2kg je..RM5, murah..sbb tu aku ke situ. ikan pun fresh2..baru naik dari laut.

so..kita layan resipi ni..amik kat dapur kak ita, hahaha...malas ler nak naip smula..cnp jelah ya..tqvm kak ita n yani (my resipi)

LAKSAM

Laksa
3cwn tpg beras
1/2 cwn tpg gandum
4cwn air suam


Gaulkan semua bahan-bahan.
Panaskan kukusan.
Sapukan tudung periuk dengan sedikit minyak masak utk mengelak dari melekat.
Ambik sedikit adunan dan letakkan di atas tudung periuk.
Kukus sampai masak.
Bila dah masak, keluarkan.
Biarkan sekejap sebelum digulung - supaya laksam kelihatan licin dan cantik.
Sementara tu letaklah sedikit adunan ke atas tudung periuk lain dan kukus sampai masak.
Ulang sampai habis



Kuah Laksam
Ikan -
boleh guna kembung, tamban atau tenggiri (direbus, dibuang tulang) ita guna 3 hiris ikan tenggiri
1 inc halia
3 ulas bwg putih
5 ulas bwg merah
1 sudu teh lada hitam
1 biji Santan
3-5 keping Asam keping
Sdkt garam
Sedikit gula merah atau gula pasir

kisar isi ikan, halia, bawang putih, bawang merah dan lada hitam. Kemudian masukkan ke dalam periuk bersama bahan-bahan lain. Masak sehingga agak pekat.


Bahan Ulam
timun
kacang panjang
taugeh
daun kesum

Kesemua bahan di atas di hiris halus.




Bahan Cili
cili merah
belacan
garam
limau nipis atau limau kasturi

cili merah tumbuk dgn belacan, tambah garam sikit dan perahkan limau

Wednesday, July 13, 2011

Baked Macaroni Cheese




Salam..dah 4 hari ya kita berpuasa..sekejap je masa berlalu..moga2 dipanjangkan usia untuk terus berada di bulan penuh keberkatan ini.

hari ni kita layan resipi ala-ala barat sket...my hubby gemar amat ni..tambah2 lak ada masuk cheese.....asal usul resipi ni aku tak tau..tapi terima kasih tidak terhingga buat kak za (rakan fb), walaupun kenal di alam maya namun tak pernah kedekut ilmu..ok, jom masuk dapur...

BAKED MACARONI CHEESE
bahan2:
300 gm macaroni
100 gm isi ayam
4 - 5 biji telor
2-3 sudu besar serbuk kari
sedikit garam dan gula
1 tin susu cair
1 cwn air
2 labu bwng besar - potong dadu
1 sudu besar lada hitam tumbuk

caranya:
Makaroni rebus hingga masak dan toskan
tumis bwng dan lada hitam yg ditumbuk tadi sehingga naik bau, kemudian masukkan serbuk kari..kacau seketika, masukkan ayam, tunggu smpai air ayam kering
setelah itu masukkan makaroni, susu, air dan telor sebiji demi sebiji sehingga habis..biarkan gelegak dan terendam skjp...lepas tu masukkan dlm loyang 10x 10 ,taburkan mozarella cheese atau chedar cheese dan bakar 30 minit.


Makan dgn cili sos..sedap...

senangkan!! boleh cuba...

Chicken Chop Sandwich



assalamualaikum...dah 14 julai hari ni..bermakna lagi 1/2 bulan je kita akan mula melangkah ke bulan ramadhan, moga diberi kesempatan untuk menikmati keberkatannya..Aminn.

resipi yang aku nak tayang hari ni adalah menu untuk berbuka puasa semalam. dah abis fikir apa nak disediakan..lastly, memandangkan ada chicken chop segera kat dalam esbok..elok juga dipelbagaikan.

sedap, ringkas dan mudah untuk disediakan. sesuai sangat untuk sarapan pagi...makan satu memang tak cukup punya..



CHICKEN CHOP SANDWICH
6 keping roti sandwich - apa brand pun tak kisah (potong kulit tepi)
3 keping chicken chop
1 labu bawang besar- potong nipis
1 batang timun - racik halus
1 biji tomato - dadukan
1/2 biji epal merah -dadukan
5 sudu besar mayonis
2 sudu besar sos cili
1-2 sudu kecil serbuk lada hitam
sedikit mentega
minyak untuk menggoreng

caranya:
panaskan minyak, goreng chicken chop sehingga masak. potongkan menjadi jejari..
bawang besar, timun, tomato, epal digaul bersama mayonis, sos cili dan serbuk lada hitam. gaul sebati.
sapu mentega pada roti, letakkan salad mayonis tadi, susun jejari diatasnya dan seterusnya letakkan salad mayonis lagi. tutup dengan sekeping roti - macam buat sandwich biasa tu. potongkan dan sedia untuk dihidangkan...