My Anniversary

Daisypath Anniversary tickers

Friday, December 28, 2012

LALA GORENG PEDAS

Assalamualaikum...

Semalam masak lala, fuhhh....sedapnya!!! Sebenarnya lala ni feveret akak..masa zaman bujang2 dulu, pantang nampak kat restoran, mesti beli.

macam kerang je...


Sejak pindah sini 2 tahun lepas, nilah pertama kali masak lala..nak tahu kenapa? Sebabnya lala di sini berbeza dengan lala yg biasa akak jumpa. Jenuh juga mencari kat pasar..tapi hanya itulah yg dinamakan lala di sini (tengok gambar kat sebelah ni)


Masa jalan2 kat Mydin petang semalam..ternampak lala, apalagi...la la la, rasa girang betul hati ini..tapi nak beli banyak2 bukannya boleh simpan lama...namun, berbahagia sangat2.



Jom kita tengok resipi LALA GORENG PEDAS ni...satu resipi yg simple tapi sedap sehingga menjilat jari.

Bahan2:
500gm lala
1 inci halia
3 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
5-6 biji cili padi
2 biji cili besar (nak letak cili giling pun takpe)
2 batang serai - diketuk
1 labu bawang besar - potong nipis
gula dan garam secukup rasa
sedikit minyak untuk menumis


Caranya:
- lala direndam seketika untuk membuang kandungan pasir yg ada...bilas bersih
- tumbuk cili padi, cili besar, bawang merah, bawang putih dan halia sehingga lumat
- panaskan minyak dan tumis bahan yg ditumbuk tadi sehingga garing, masukkan serai dan bawang besar..biarkan seketika.
- letakkan garam dan gula secukup rasa, jika kering tambahkan sedikit air
- masukkan lala dan tutup kuali seketika (3-5 minit)
- jika cengkerangnya dah terbuka menandakan lala dah masak. kaup balikkan sehingga mesra @ sekata.
- hidangkan, sedap dimakan panas-panas






.

Thursday, December 13, 2012

Omelette Makaroni


Assalamualaikum...ni menu dinner malam tadi, resipi asalnya Omelette Spaghetti tapi telah diubahsuai. Boleh je nak gunakan apa2 pasta pun.. Resipi ni sesuai untuk kanak-kanak, orang dewasa pun boleh juga. Sedap di makan masa panas-panas.

Ok, kita tengok resipinya



Bahan2-
1 biji telur - pukul bersama sedikit garam
1/2 mangkuk makaroni yg telah direbus - kalau letak spaghetti kena cincang sederhana halus
1 batang kacang panjang - cincang halus
1/4 mangkuk karot yg dicincang halus
1 keping cheese dipotong kecik2 - apa2 brand pun xpe
sedikit minyak untuk menggoreng



Cara-caranya-
Pukul telur bersama garam sehingga kembang, masukkan makaroni dan sayuran yg dipotong tadi..gaul rata. Panaskan minyak, pasti betul-betul panas dan masukkan adunan tadi. Masak sehingga omelette tadi garing..macam goreng telur dadar tu. Angkat...dan time panas-panas tu taburkan cheese dan biarkan sekejap. Tada...dah siap!!!!

Wednesday, December 12, 2012

UDANG GORENG KUNYIT

Assalamualaikum...dah masak untuk hari ini? Akak macam biasa..masak yang simple-simple je, orang bizi macam akak ni masak campak2 je..so resipi yg akak tayang ni memang sesuai untuk adik2 bujang dan baru belajar masak..hehehe.


Kali ni kita akan masak udang goreng kunyit je...cukup mudah, tapi sedap tau!!! Jom tinjau bahan2

BAHAN2
10 ekor udang sederhana besar
2 ulas bawang putih
3 biji cili padi
1 biji cili merah - hiasan
1 ulas bawang besar - potong nipis
1 sudu makan sos tiram
daun bawang - hiasan
garam, gula
sedikit kunyit
minyak untuk menggoreng

Caranya:
Udang dibersihkan dan gaul dengan sedikit garam dan kunyit, ketepikan. Bawang putih dan cili padi ditumbuk kasar dan tumiskan dengan sedikit minyak sehingga naik bau. Masukkan bawang besar dan biarkan seketika. Masukkan udang tadi dan goreng sehingga masak. Masukkan sos tiram dan kacau. Perasakan secukupnya dengan garam dan gula. Masukkan cili merah dan daun bawang yg telah dipotong..sedia untuk dimakan bersama nasi panas.

KERABU JANTUNG PISANG


Assalam...kenal jantung pisang? Ala..kalau tengok kat pokok pisang yg berbuah tu, pd hujung tandan biasanya ada jantung pisang (kalau tuannya dah potong xde lah ye!!!) Jantung pisang ni sedap di masak lemak cili api, masak tempoyak ataupun leh juga buat kerabu. Tapi..bukan semua jenis jantung pisang boleh dimakan..silap haribulan, ada yg pahit, ni mak yg cakap..katanya pisang nangka dan pisang berangan tak sesuai diambil jantungnya..pahit. Nak senang..beli jelah jantung pisang tu kat pasar...



Kali ni akak nak masak kerabu jantung pisang...ni ikut resipi mak yg telah diubahsuai mengikut kesesuaian. Jom kita ke proses seterusnya. Kebiasaannya..bila kita beli jantung pisang ni, koyakkan beberapa lapis helaian jantung tu biar tinggal yg muda je..lapisan luar tu keras. Belah dua mcm gambar kat atas ni dan potong nipis2...pastu celur sekejap lebih kurang 15min dan toskan.

Jom tengok bahan-bahan yg perlu disediakan:

1 biji jantung pisang
1 batang serai
2 ulas bawang merah
1 ulas bawang putih
sedikit lada hitam
3-5 biji cili padi (nak pedas boleh tambah)
1/2 ulas bawang besar - di hiris nipis
1 ekor ikan kembung (rebus dan ambik isinya)
2 sudu makan kelapa goreng dan ditumbuk halus
3 sudu makan santan pekat
1 biji limau nipis - ambik jusnya
garam gula secukup rasa


Cara-caranya:
Jantung pisang dihiris nipis dan direbus seketika, toskan. Tumbuk serai, lada hitam, bawang putih dan bawang merah sehingga lumat. Masukkan isi ikan yg telah direbus tadi dan tumbuk. Gaulkan rencah yg telah ditumbuk, kelapa goreng, cili yg telah dipotong juga bawang besar yg dihiris nipis bersama jantung pisang tadi. Masukkan santan dan perasakan dengan garam dan gula. Perah air limau nipis dan sedia untuk dihidangkan.


SAMBAL BELACAN

Assalamualaikum...hmmm, unik betul entri kali ni, setelah sekian lama meninggalkan dunia blog ni, kali ni akak kembali ...dengan sebuah entri yg pedas menyengat...



Sebenarnya malas nak ulas panjang lebar, semua kenalkan dengan sambal belacan...sesuatu yg pedas tetapi amat sedap bila di makan bersama nasi panas, pekena pulak dengan ulam-ulaman..fuhhh, berasap!!!

Ok..ni resipi untuk orang2 bujang, anak2 dara yg belum tahu masak tu..boleh mencuba. Yang dah kahwin dan terror masak tu, pejam mata jelah ya...




BAHAN2:

10 biji cili padi
3 biji cili merah
1 inci belacan (nak letak lebih pun takpe)
1 biji limau nipis
1 biji tomato - potong dadu
garam, gula secukup rasa

Membuat sambal belacan ni, nak dapatkan hasil yg sedap...kena tumbuk dengan lesung batu. Tapi hati2...jaga mata anda!!!


So..semua bahan di atas ditumbuk sehingga lumat kecuali tomato dan limau nipis. Dah cukup lumat, masukkan tomato yg didadukan tadi tu dan tumbuk pecah2 sikit je, pastu perah air limau nipis...siap!!!

Monday, September 10, 2012

Nasi Lemak Ayam Goreng Berempah

Assalam...dah lama tak masak..eehh, bknnya tak masak la tp tak update blog masakan ni. Huhuhu..2 bulan tak jengah kat sini, berabuk sana sini dah blog ni. Masa yg ada sekarang ni amat2lah padat dengan pelbagai aktiviti harian..ke sana sini, dgn anak2 lagi, kalau lah ada talian hayat sure dah lama habis.. he3.


Resipi kali ni adalah permintaan khas dari Mr Boss untuk hidangan berbuka puasa. "Tak yah susah2 masak..nasi lemak pun oklah", kata Mr Boss sblm keluar gi kerja. Jenuh jgk mikir..nak buat nasi lemak biasa2 je ke @ camner? Teringat kat video klip kat blog Kak Azlita Aziz, banyak resipi nasi lemak di SINI . Sebagai sumber inspirasi  sambil menyingsing lengan baju...jom masak.



Untuk Rujukan, mohon izin copy n paste ya kak Azlita Aziz :)

NASI LEMAK HALBA KUKUS
1 kg beras - basuh bersih dan toskan airnya
5 cawan santan
3 helai daun pandan - koyak simpul
2 inci halia - hiris
3 bj bawang merah - hiris
1 bj bawang putih - hiris
secubit garam
rempah tumis
Masukkan semua bahan ke dalam periuk dna masak sehingga beras sebati dengan santan. Biarkan nasi separuh masak atau sehingga santan kering. Pindahkan nasi ke dalam kukusan. Alas kukusan yang berlubang dengan daun pisang supaya nasi tidak jatuh. Kukus sehingga naik wap selama 30 minit atau sehingga nasi masak sepenuhnya.
Apabila masak, bolehlah dihidangkan dengan sambal tumis, ikan bilis goreng, telur rebus, kacang goreng, ayam goreng dan timun sebagai ulaman.

(heading tu nasi lemak halba, tp halba x taruk pun!!..resipi asal mmg ada letak halba 1camca teh)


AYAM GORENG BEREMPAH

1 ekor ayam - potong dan dicuci bersih
4 ulas bawang putih - kisar
3 batang serai - kisar
2 inci halia - kisar
garam - secukup rasa
1 sudu besar serbuk ketumbar
1 sudu besar serbuk jintan
1sudu besar serbuk kunyit
1 sudu kecil serbuk cili


Kisar semua bahan kisar. Campurkan semua serbuk dan garam hingga menjadi paste. Lumurkan pada ayam sehingga rata. Perap sekejap. Panaskan minyak dan goreng ayam hingga masak kekuningan. 


Siap untuk dihidangkanbersama nasi lemak Jom makan....



Sunday, April 22, 2012

Dalca Daging

Sebenarnya menu ni aku tak berapa minat..so ini adalah 1st time aku masak dalca, totaly la.. sblm ni tolong2 my mum n my mil je, hahaha..dah 11thn aku kawin..tak pernah wat dalca..dasatnya!!!! tapi..kali ni, dek keterpaksaan..daging dah tinggal sikit berbaki..kacang ngan karot pun ada...boleh lah. Kacang dhal takde..takpe, apa yang ada je..asalkan makan ku berkuah..aisey, sedap pulak!! (hihihi, masuk bakul angkat sendiri)


Resipi asal aku amik kat MyResipi..sumbangan Noreen, tengok SINI. Tapi yang aku tayang kat sini..versi akulah ya..mengikut keperluan bahan yang ada je..

Bahan:
100gm daging lembu - hiris nipis/kecil
1 batang karot - potong kecil
2 biji kentang
5-6 batang kacang panjang - potong panjang anggaran 3 inci
2 biji tomato - belah 4
2 sudu besar rempah kari + sedikit air
1/2 cawan santan pekat
2 cawan santan cair
1 biji buah pelaga
1 batang kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
2 kuntum bunga cengkih
1 labu bawang besar - kisar
2 ulas bawang putih - kisar
1/2 inci halia - kisar
garam, gula
minyak


Cara:
Panaskan minyak, tumis kulit kayu manis, buah pelaga, bunga lawang dan bunga cengkih hingga wangi, masukkan bahan kisar..kacau seketika. Masukkan rempah kari..dan kacau sehingga garing dan naik minyak. Masukkan daging dan biarkan seketika, masukkan kentang dan karot..masak sehingga daging empuk..boleh tambahkan sedikit santan cair. Masukkan santan dan kacau sehingga mendidih..masukkan kacang dan tomato, letakkan sedikit garam dan gula. Suaikan rasa dan biarkan seketika..sedia untuk dihidang.

Ayam Sos Pedas

Assalamualaikum...
Resipi ni aku amik ngan mak aku...sedap sangat bila makan hasil tangan ibu. Walaupun cara pembuatannya simple je namun aku suka, ahli keluarga aku pun suka...anak aku bila makan lauk ni mesti bertambah nasinya ..so aku kongsi kat sini harapnya ada juga yang suka... mungkin ada persamaan dengan resipi2 orang lain namun mencipta sesebuah resipi ni bila kita berani mencampuradukkan sesuatu bahan..maka terhasillah sebuah resipi dan itulah hasil ciptaan seseorang...


Ayam ni sedap dimakan bersama nasi panas tambah pula dengan kuah dalca...fuhh, sedap. Ada pula sambal belacan lagi terangkat...


Ok..jom kita ke dapur...






Bahan2:
500gm ayam - dipotong kecil2 (perapkan seketika bersama garam kunyit..aku tambahkan sedikit cajun dan serbuk lada hitam)
2 labu bawang besar - mayang kasar
2-3 ulas bawang putih - tumbuk halus
2 biji cili besar - mayang  kasar
4-5 sudu besar sos cili
sedikit air asam jawa
garam, gula
minyak


Caranya:
Ayam yang telah diperap tadi digoreng sehingga masak dengan api perlahan...buat sehingga habis, ketepikan. Sediakan minyak untuk menumis (gunakan minyak goreng ayam tadi..kalau terlalu banyak, kurangkan sedikit). Tumis bawang putih sehingga kekuningan dan masukkan bawang besar bersama cili..goreng sehingga bawang besar layu..masukkan sos cili dan kacau sebati..selepas itu masukkan air asam jawa, garam dan gula..suaikan rasa, masukkan ayam yang telah digoreng tadi. Kacau sehingga bergaul mesra ayam dan sos. Hidangkan. Selamat mencuba..

Wednesday, April 4, 2012

Tea Bunga Kekwa



Assalamualaikum... Kali ni aku nak tayang minuman teh kekwa, kalau bulan ramadhan cukup tergoda tengok air ni kat pasar2 ramadhan..cukup menyegarkan. Dulu2 aku tak tau mana nak dapatkan bunga kekwa kering ni..tapi akhirnya terjumpa juga, ada dijual kat pasar rupanya (kalau kat tempat akulah..kat tempat lain aku tak tau, mungkin kat kedai2 ubat cina ada jual kot!!!maaf eeh...)



Sebelum tu kita tengok dulu apa khasiat bunga kekwa ni.. Bunga kekwa ni boleh menghapuskan bakteria dan memperkuatkan saluran kapilari. Sering digunakan dalam perubatan untuk mengubati beberapa jenis penyakit termasuk pemulihan demam selsema. Menyejukkan badan dan amat sesuai digunakan untuk mengubati demam, melegakan kerongkong dan meredakan pening kepala serta untuk mencerahkan mata. Selain dari itu ia digunakan juga sebagai stimulant untuk tahan dari mengantuk. Kelopak bunga yang sudah ditoskan selepas direndam air panas dibungkus boleh melegakan gatal-gatal mata (gunakan sebagai tampalan/compress). - petikan dari dutaherbs.com.my




Bunga kekwa yang kering ni dibasuh dan direbus bersama dengan air dan gula mengikut citarasa masing2 sehingga mendidih.Sejukkan dan sedia untuk diminum.

German Cookies @ Deutsche Kekse



Assalamualaikum...setiap hari bila aku buka blog ni akan terpampang gambar-gambar masakan rakan blogger kat blog list. Ada lauk pauk, kuih muih, kek dan biskut..juga minuman, semuanya nampak sedap dan menarik (dorang ni profesional, gambar yang ditayangkan cantik dan menarik..aku punya gambar tahap budak2 main pondok2...sinonim dengan nama blog ni)  sebenarnya aku jeles..hihihi, tapi itu je yang aku mampu..yang penting hasil tangan aku dan aku puas hati..betul tak?


Kali ni aku skodeng blog Noorsha dan terpandang resipi kukis ni...macam sedap je, hati dah tertarik...kena buat ni. Setelah menanti sekian lama..menunggu masa yang terluang, akhirnya..menjadi juga kukis ni. Sedap, mudah dan bahannya pun tak susah untuk disediakan..anak2 pun suka. Aku letak kalerful sikit bagi menarik minat anak2.. terima kasih buat Noorsha kerana sudi share resipi ni. Aku ulang tayang resipinya...




Bahan2:
125gm butter
40gm gula ising
125gm tepung ubi kentang
80gm tepung gandum


Cara2:
Pukul butter dengan gula ising hingga kembang. Ayakkan tepung gandum bersama tepung ubi kentang ke dalam mangkuk adunan dan gaul rata sehingga menjadi doh. Bulatkan doh kepada size yang sama atau seberat 7gm setiap satu dan letakkan atas baking tray, boleh juga gunakan sudu untuk saiz yang sama. Basahkan garfu dengan air dan tekan atas doh yang telah dibulatkan tadi sehingga habis. Bakar selama 15minit pada suhu 170c atau sehingga kukis masak sepenuhnya...

Tuesday, April 3, 2012

Bihun Goreng Singapura


Setiap hari duk masak...pening dah kepala ni nak memikir apa nak makan utk sarapan, tengahari, petang dan malam...asyik fikir pasal makan je..agak2nya kalau puasa? tapi...fikir jugak..apa nak masak untuk berbuka puasa...isshhh, itulah keje org dapur ni.

Dalam fikir2 tu..my sis bercerita tentang jamuan potluck kat opisnya, hmm...ok gak skali skala makan menu oversea..hehehe. Jom layan...

Bahan:
Sebungkus bihun (rendam hingga lembut dan toskan)
100 gm isi ayam (hiris nipis)
200 gm udang segar (buangkan kulit - tak letak pun)
200 gm tauge - tak letak
1 batang karot (sagat halus)
2-3 keping tauhu - potong dadu dan goreng garing)
2 sb lada hitam - tumbuk halus
4 ulas bawang putih - tumbuk pecah2 je
2 sudu makan cuka / air limau nipis
garam
gula
sedikit minyak untuk menumis
sedikit air
daun sup/daun bawang - racik untuk hiasan
bawang goreng - hiasan

Caranya:
Panaskan minyak, tumis bawang putih dan lada hitam sehingga wangi. Masukkan isi ayam dan udang, kacau rata. Masukkan sedikit air,karot, garam dan gula..kacau dan masukkan bihun. Kaup balikkan sehingga sebati. Masukkan cuka dan teruskan mengacau..bila nampak bihun lembut masukkan tauge dan tauhu..gaul rata, Hidangkan dengan taburan daun bawang, daun sup dan bawang goreng. Nak sedap lagi makan dengan sos kicap (cili api ditumbuk hancur, kicap dan perahan asam limau). Selamat mencuba...sesuai untuk sarapan/minum petang.


kan panas-panas

PUFF SARDIN


Assalamualaikum...salam rabu buat semua.  Dah lama tak jenguk dapur pondok ni...rindu sangat tapi dek kesibukan dengan anak-anak dan tugas seharian, terpaksa jua memberi keutamaan kpd yg priority. Kali ni nak letak resipi yang senang dan sedap...cepat dan mudah.. :)

Puff sardin ni aku buat untuk bekal my asben nak outstation ke pulau...maklum ler, nak gi bertugas kat pulau, risau lak kot2 takde kedai nak cari makanan time perut berkeroncong di petang hari. Kebetulan plak ada balance puff pastri jenama KAWAN dalam esbox, memudahkan kerja dan menjimatkan masa.

So...apalagi, diawal pagi aku bangun mengodek apa yg perlu..jom kita tengok list kerja aku nak menyiapkan PUFF SARDIN ni...



Bahan2:
6 keping puff pastri
1 tin kecil sardin
1 labu bawang besar (mayang)
2-3 ulas bawang putih (ketuk2 pecah je)
2-3 biji cili api (suka pedas boleh tambah lagi)
1 sudu besar jus limau nipis
sedikit garam
minyak untuk menumis

Caranya:
panaskan minyak, tumis bawang putih sehingga naik bau, masukkan isi sardin..biarkan seketika, pastu baru masukkan sos sardin..tambahkan sedikit air, masukkan bawang besar, cili, jus limau dan sedikit garam..suaikan rasa dan sambil2 mengodek sardin tu..hancur2kan isi ikan tu..  masak sehingga agak kering sedikit dan sejukkan.

Ambil sekeping puff pastri...canaikan tapi jgn nipis sangat, agak2lah ya. Masukkan inti dan lipat dua untuk mencantumkan bahagian tepi tu..ambik garpu dan tekan tepinya (ala2 kelim karipap). Buat sehingga habis sardin dan puff pastri tadi. Bakar dengan suhu 200C  (ikut oven masing2) hingga kekuningan.

 Ohh ya..lupa plak..sapukan telur kuning atas puff tadi sebelum bakar, untuk mencantikkannya...nampak kuning keemasan..yummy!!!!









Tuesday, March 27, 2012

KETUPAT SOTONG




Salam...pernah tak kalian makan ketupat sotong. Sejenis juadah yang agak istimewa di pantai timur. Walaupun aku ni berasal dari pantai timur namun aku tak pernah merasai kenikmatan ketupat sotong yang diperkatakan. Seingat aku..di zaman kanak-kanak, nenek pernah membuatnya dan disebabkan rasanya yang teramat manis menyebabkan aku tidak menggemarinya.

Setiap kali disebutkan ketupat sotong..maka aku akan membayangkan kemanisan yang teramat sangat dan itu akan menghilangkan seleraku untuk menikmati rasa sebenarnya.

Setelah kesekian lamanya, En Asben pula membayangkan untuk menikmati ketupat sotong..alamak!!! kantoi....nak atau tidak terpaksa aku memasaknya. Puas juga membelek kat laman internet, menerjah dapur-dapur yang terbuka pintunya..akhirnya berkenan dengan yang ni..resipi milik Mak Yong di laman my resipi, jom..kita pakat buat..sedap dan akhirnya aku pun terpikat. Saya copy n paste Mak Yong ya..tqvm.


Bahan-bahan ( 10 ekor )

  • 10 ekor sotong sederhana besar
  • 1 cawan beras pulut
  • 2 cawan santan sederhana pekat
  • 1 keping gula melaka
  • sedikit garam
  • gula secukupnya
  • sehelai daun pandan
  • 10 batang lidi- 3-4cm panjang

Cara-cara

  1. Bersihkan beras pulut. Rendam dengan santan selama 30 minit. Toskan beras. Santan bekas rendam beras tu dimasukkan ke dalam periuk.
  2. Bersihkan sotong. Keluarkan kepalanya.
  3. Isikan beras pulut ke dalam sotong 1/3 penuh. Tutupkan dengan kepala sotong. Cucuk dengan lidi supaya kepala tak tercabut. Masukkan ke dalam periuk yang ada santan tadi.
  4. Masukkan garam, gula melaka dan daun pandan. Masak sehingga pekat.
  5. Ambik sikit kuah tadi dan rasa sama ada dah cukup manis atau tidak. Kalau belum manis bolehlah ditambah dengan gula.

Wednesday, March 7, 2012

Daging Salai Masak Lemak Cili Api Bersama Rebung



Assalamualaikum... dah lama tak bersiaran, kebuntuan idea pulak nak mengetuk keyboard ni. Hari ni dah khamis, hari terakhir persekolahan..esok meriahlah rumah ni..anak2 tak bersekolah. Cadang nak balik kg hari ni tapi disebabkan kesihatan tak mengizinkan...demam, my hubby tangguhkan dulu sehingga ahad. Lagipun dia ada meeting ahad nnt...dapatlah aku rest kejap sehingga dah kebah demam...pening juga nak ngemas n packing kain baju walaupun cutinya untuk seketika.


Kali ni aku nak berkongsi resipi kegemaranku...masak lemak daging salai bersama rebung. Daging salai ni aku beli online dengan seorang kawan...RM30/pack, beratnya lbh kurang 500gm..bolehlah untuk dua kali masak. Rebung ni pula adik ipar bawa balik dari Ipoh...pucuk dicita ulam mendatang (betul ke ni???). Dah lengkap kombinasinya...jom kita masak.


Daging Salai Masak Lemak Cili Api Bersama Rebung...

Bahan2
200gm daging salai yang telah dihiris nipis
2 batang serai - dititik
6-8 biji cili api (nak pedas boleh tambah)
1 cawan santan pekat
1 cawan air
1-2 keping asam gelugor/asam keping
1/2 inci kunyit hidup
sedikit garam
rebung - direbus seketika

Caranya:
tumbuk cili api bersama kunyit hidup sehingga lumat, masukkan ke dalam periuk dan masukkan serai yang telah dititik tadi. masukkan santan dan air... kacau sebati...gunakan api sederhana dan sentiasa dikacau hingga mendidih. setelah itu masukkan asam gelugor, daging salai dan rebung. letakkan perasa. masak sehingga kuah pecah minyak, angkat dan sedia untuk dihidang bersama nasi. selamat mencuba.




Monday, February 13, 2012

Spageti Ayam

Salam... sejak lepas2 demam ni, tekak nak makan yang masam2 je...hmm teringin plak nak makan spageti bolognese..tp daging cincang takde, nampaknya terpaksalah meng'edit' resipi. Apapun..hasilnya...sedap..Alhamdulillah, kenyang.

Nak berceloteh panjang2..takde idealah, blur je..hujan2 gini plak..hehe. Jomlah, layan resipi..




SPAGETI AYAM

300gm isi ayam - cincang halus
1 labu  bawang besar - potong dadu
2 ulas bawang putih - cincang halus
1 tin tomato puri( 200 gm)
1biji buah tomato - potong dadu
1 batang  karot - potong dadu
11/2 cawan air
1/2 cawan susu cair
1 kiub ayam
oregano
garam secukup rasa
minyak

Caranya:
panaskan minyak, tumis bawang putih dan bawang besar sehingga layu..masukkan isi ayam cincang tadi..biarkan seketika. masukkan tomato puri dan kacau sekejap. masukkan tomato dan karot..kacau seketika dan masukkan air, kiub ayam dan sedikit garam. Biarkan seketika...masukkan susu dan oregano, kacau dan biarkan sehingga pekat. Sedia untuk dimakan bersama spageti.

Nak masak spageti? Senang je.. masak air dalam periuk/kuali..letakkan sedikit garam dan minyak..bila dah mendidih masukkan spageti anggaran 8-10min..toskan.

Silalah menjamu selera....yummy..

Monday, January 30, 2012

PULUT SERI MUKA

Salam...bulan januari dah penghujung tapi ini kali ke 2 bagi tahun ini aku membuat posting di laman ini. Walaupun setiap hari memasak..namun kesempatan untuk mengentri tidak diberikan, tersadailah ia di dalam kotak digicam.

Hari ni..entah angin dari mana melanda...teringin pula untuk makan pulut serimuka. Kebiasaannya memang ada dijual di warung-warung tapi kepuasan memakan hasil tangan sendiri tidak sama dengan hasil yang terdapat di kedai. Beras pulut pun ada sedikit lagi...memang cukup untuk seloyang kuih  ni...guna santan kotak je. Kebetulan pula jiranku yang juga sahabat lama mengidam kuih ni..menambahkan lagi semangatku...nantikan hasilnya.

Resipi ni aku ambik dari blog fotopages Kak Hanieliza, sedap dan mudah untuk disediakan. Jom kita layan...



KUIH SERIMUKA

Bahagian Atas:
2 cawan beras pulut - dibersihkan
2 1/2 cawan santan cair
sedikit garam

- beras yg telah dibersihkan tadi direndam bersama santan dan garam selama beberapa jam (aku rendam 1/2 jam je)
- kukus sehingga masak
- lapik plastik dalam loyang (8") dan tekan pulut yg telah masak tadi sehingga mampat

Bahagian bawah:
2 cawan santan pekat
1/2 cawan gula pasir
1/2 cawan gula merah (aku gunakan gula pasir je dan letakkan pewarna)
1/2 cawan gandum
2 sudu besar tepung jagung
3 biji telur
1sudu teh garam

- kacau sebati semua bahan dan tapiskan
- tuang adunan dalam loyang pulut tadi perlahan-lahan
- kukus selama 20min
- sejukkan sebelum dipotong.

Sedia untuk juadah minum petang.

Sunday, January 29, 2012

Agar Agar Santan

Salam...masa aku di zaman  persekolahan, agar-agar ni memang menjadi kegemaran...rasa lemak manis, lagi enak kalau disimpan sejuk... setelah sekian lama aku mulakan kembali memasak agar-agar ni, caranya tak lah susah sangat..macam agar-agar biasa je cuma ditambah santan dan telur je..

Uniknya agar-agar ni, ia akan membentuk 2 lapisan  dengan sendiri, takyah nak susun lapis-lapis..kita semak resipinya..


AGAR-AGAR SANTAN
1 pkt agar-agar (25gm)
1 cawan gula (ikut citarasa, kalau nak lebih manis..tambahkan gula)
5 cawan air
2 cawan santan
2 biji telur
1 helai daun pandan
pewarna

caranya:
Agar-agar dimasak dengan 5 cawan air sehingga hancur, masukkan daun pandan,pewarna dan gula..tapiskan. Santan dan telur dipukul sebati..masukkan dalam agar-agar tadi dan kacau sebati, biarkan mengelegak seketika. Tuang dalam acuan dan biarkan sejuk. Sedia untuk dihidangkan.
Selamat mencuba